JAWAPAN KEMENTERIAN BERKAITAN URUSAN PENGAJIAN PELAJAR MALAYSIA DI MESIR

Assalamualaikum, rentetan daripada keadaan di Mesir yang bergolak, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan panduan kepada pelajar Mesir yang mahu penjelasan pihak Kementerian mengenai urusan pengajian pelajar Malaysia di Mesir. Saya kongsikan jawapan pihak kementerian mengenai urusan mereka.

SOALAN-SOALAN LAZIM MENGENAI URUSAN PENGAJIAN PELAJAR MALAYSIA DI MESIR

SOALAN 1:
Saya adalah pelajar yang belajar di Mesir dan berminat meneruskan pengajian di Malaysia. Bolehkah saya meneruskan pengajian tersebut?

JAWAPAN:
Pelajar-pelajar Malaysia dari universiti di Mesir dibenarkan memilih untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pengajian Islam tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, penempatan pelajar-pelajar di IPT di Malaysia tidak melibatkan pelajar-pelajar yang sedang mengikuti program klinikal bagi bidang perubatan dan pergigian.

SOALAN 2:
Saya hendak meneruskan pengajian saya di Mesir. Apakah pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia berkenaan perkara ini?

JAWAPAN:
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia tidak menghalang pelajar-pelajar yang memilih untuk meneruskan pengajian mereka ke Mesir.

SOALAN 3:
Bagaimanakah kaedah pemindahan kredit bagi pelajar pengajian perubatan, pergigian dan farmasi dilaksanakan? 

JAWAPAN:
Pelaksanaan pemindahan kredit bagi pelajar pengajian perubatan, pergigian dan farmasi adalah mengikut prinsip “parallel” (“minus one rule”) berdasarkan tahun pengajian. Sebagai contoh, pengajian perubatan di Mesir mengambil masa enam (6) tahun, manakala pengajian perubatan di Malaysia  mengambil masa lima (5) tahun. Oleh yang demikian, dari segi kesetaraan, pelajar tahun empat (4) di Mesir adalah setara dengan pelajar tahun tiga (3) institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia. Pelaksanaan ini dibuat secara  “one-off” iaitu khas untuk kumpulan yang menghadapi krisis Mesir 2013 sahaja.



SOALAN 4:
Bagaimanakah kaedah pemindahan kredit bagi pelajar bidang pengajian Islam dilaksanakan?

JAWAPAN:
Pelaksanaan pemindahan kredit bagi pelajar bidang pengajian Islam yang ingin mengikuti pengajian di IPT di Malaysia adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Malaysian Qualification Agency (MQA).

SOALAN 5:
Saya merupakan pelajar tajaan yang berminat untuk mengikuti pengajian di Malaysia, adakah pihak penaja akan meneruskan penajaan?

JAWAPAN:
Bagi pelajar-pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA, pihak penaja telah bersetuju untuk meneruskan penajaan bagi pelajar yang memilih meneruskan pengajian di IPT di Malaysia. Bagi lain-lain penaja, para pelajar perlu merujuk perkara ini dengan pihak penaja masing-masing.

SOALAN 6:
Saya merupakan pelajar persendirian yang belajar di Mesir dan berminat untuk menyambung pengajian di Malaysia. Apakah bentuk pembiayaan yang boleh saya perolehi?

JAWAPAN:
Bagi pelajar-pelajar yang mendaftar sebagai pelajar di IPT di Malaysia, para pelajar boleh memohon pembiayaan pinjaman PTPTN berjumlah maksimum RM150,000 tertakluk kepada syarat-syarat PTPTN.

SOALAN 7:
Bilakah saya perlu memohon untuk meneruskan pengajian di IPT di Malaysia?

JAWAPAN:
Para pelajar yang ingin meneruskan pengajian di IPT di Malaysia perlu mengemukakan permohonan bermula 24 September 2013 sehingga 8 Oktober 2013.

SOALAN 8:
Apakah prosedur permohonan bagi meneruskan pengajian di IPT di Malaysia?

JAWAPAN:
Prosedur permohonan bagi meneruskan pengajian di IPT di Malaysia adalah seperti berikut:
  1. Pelajar dikehendaki berdaftar dengan Jawatankuasa Pengurusan Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir (JPPPMM) dengan mengisi borang permohonan yang boleh dimuat turun melalui laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (http://www.moe.gov.my) mulai 24 September 2013 jam 12.00 tengah hari;
  2. Borang permohonan yang telah lengkap hendaklah dicetak serta dikepilkan dengan dokumen akademik dan dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir (JPPPMM) di alamat Kementerian Pendidikan Malaysia,  No. 2, Menara 2, Jalan P5/6,      Presint 5, 62200 Wilayah Persekutuan Putrajaya;
  3. Pelajar boleh menyemak senarai IPT di Malaysia yang menawarkan bidang pengajian perubatan, pergigian dan farmasi di pautan berikut (seperti di Lampiran A); dan
  4. Permohonan adalah ditutup pada 8 Oktober 2013 jam 12.00 tengah hari.
SOALAN 9:
Siapakah yang menentukan keputusan berjaya atau gagal bagi  pemilihan pelajar untuk meneruskan pengajian di IPT di Malaysia?

JAWAPAN:
Keputusan berjaya atau gagal bagi  pemilihan pelajar untuk meneruskan pengajian di IPT di Malaysia adalah ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir (JPPPMM) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi. Keputusan JPPPMM ini adalah muktamad.

SOALAN 10:
Dimanakah maklumat terkini berkenaan perkara ini boleh diperolehi?

JAWAPAN:
Bagi sebarang pertanyaan, para pelajar boleh menghubungi Bilik Operasi KPM di talianhotline 03-8870 6611 dari jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang (Isnin hingga Jumaat). Pertanyaan juga boleh melalui 
e-mel: egyptcrisis@mohe.gov.my, 

Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pendidikan Malaysia
19 September 2013

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apakah Itu Kejuruteraan Geomatik UTM?

Program Usahawantani 2013 Untuk Lepasan Diploma dan Ijazah

Kongsi: The Truth about Actuarial Science?